Selasa, 28 Februari 2017

syukur tiada tepi









assalamualaikum.. kali ini tinta saya menari riang, pena menyanyi merdu. jejari mengetuk berbunga. tiada lagi konflik tiada lagi hiba. seriang sukma hati beberapa hari lalu.

al-kisah hujung tahun lalu saya didorong beberapa kawan sastera dan linguistik melayu seangkatan saya berkarya. pada mulanya saya seakan tidak berminat tapi dek kerana mereka bersemangat menghantar penyertaan ke sayembara anjuran gallery bookstore dan apm um, saya pun terjebak sama. pada mula tiada idea. dan kemudiannya allah ilhamkan sebuah kurnia.

saya menulis di saat akhir. tiga hari mengadun aksara dan serahkan karya saya tidak setanding mereka dengan ikhtiar. beberapa bulan kemudian saya menerima warkah lewat alam maya. senarai pendek 30 nama. saya mencari-cari nama mereka. dalam girang saya, nyata tiada.

bersambung...

cerita secangkir teh

Assalamualaikum

Lama sungguh tidak bercoleteh di sini. Meluahkan kemelut rasa dan serabut fikiran kepada indera pemilik yang tak saya kenali. Terima kasih kerana sudi menjadi diari saya. sesekali bukan tiap malam seperti hakikatnya sebuah diari.

Saban minggu saya menerima panggilan telefon dari angah. Bercerita itu dan ini tentang keluarga. Pada dia mungkin mengirim khabar namun pada saya ia satu  luahan rasa yang tidak enak telinga mendengar. Mungkin dia juga sudah lama memendam. Saya tidak tahu bagaimana memberi reaksi. Saya berbelah bahagi untuk menulis di sini. Ibarat membuka pekung di dada dan terasa sedang memamah daging saudara sendiri . Namun saya juga tiada arah untuk mencurah. Cukuplah untuk kita semua ambil pengajaran.

Al-kisah semua maklum yang kami punya emak tiri. Dia baik. Namun beginilah hakikatnya, ibu tiri tak selalu baik di mata anak-anak tiri dan begitu jualah sebaliknya. Konflik dari raya tahun lepas, anak buah saya (anak kak long yang dari dulu tidak sebulu dengan ibu tiri kami. Kalau emak begitu, anaknya begitulah jua) bertandang ke rumah ayah kami bersama suami dan anaknya. Mereka baru sahaja setahun jagung mendirikan rumah tangga  dan anak mereka masih kecil. Jadi orang baru ini (suami anak buah saya itu lah), belum tahu hakikat sikap emak tiri kami. Macam biasa la. Tak semua orang datang ke rumah ayah akan dihidang air kerana perangai cermat dan kedekut beliau itu. Termasuklah tiga beranak itu.

Maka pulanglah mereka dengan ejekan dan sindirian daripada sang suami (yang memang sikapnya cakap lepas.). “kesian cicit. Datang rumah moyang tak dihidang air.” Maka isteri ini terasa jatuh air muka atau mungkin bercampur kecewa lalu berkata. “tobat lahum aku tak mo pi dah rumah tok.”  Begitu lebih kurang sumpah si cucu.

Tahun berlalu. Awal tahun ini, emak kepada ibu tiri kami jatuh sakit dan dibawa ke rumah kami kerana adik beradik yang lain tidak mahu jaga. Lalu sekian penduduk kampung menjenguk termasuklah pasangan cucu dan cicit yang bersumpah itu. Biasalah adat orang kamung bertandang tiada yang berlenggang kangkung. Paling tidak dibawa gula sekilo, barang susu setin. Sikap tuan rumah masih begitu. Barangkali tidak semua tamu yang dilayan begitu. Ikut mood mungkin.

Terkena pula pada pasangan cucu dan cicit itu perkara yang sama. Ibarat pisang berbuah kali kedua. Maka disindir diperli lagi seakan sudah jatuh ditimpa tangga. Saya masih berharap mereka akan berubah. Rasa boleh bayangkan bagaimana malunya ayah saya bila tetamu pulang dengan kering tekak dan jatuhnya air muka seorang suami bila permintaan untuk dihidangkan air (mungkin suruhan dan arahan tetapi dalam bahasa yang lembut. Maklumlah,  depan tetamu) hanya dibuat dek oleh sang isteri.


Alahai orang muda, apalah sangat secangkir teh sehingga kau sanggup putuskan silaturahim. Jangan disimpan kerak itu sehingga mengeruhkan hari-hari tua seorang datuk. Alahai orang tua, apalah sangat secamca gula sehingga kau biarkan rahmat yang dibawa para tamu pulang bersama mereka.  Sekian.J