Jumaat, 21 Julai 2017

perangai dia sorang

Adik saya berusia 24 tahun dan bakal berkahwin dengan kekasihnya tidak lama lagi. saya tak kisah soal langkah bendul dan sebagainya. Yang saya marah dan terkilan adalah dia mahu melangsungkan majlisnya di rumah ayah. Rumah dan ayah yang dia tidak pernah ambil tahu selepas dia meninggalkan kami selepas menduduki spm beberapa tahun lalu.

Bagaikan kacang melupakan kulit, dia meninggalkan ayah yang menyekolahkan dia bertahun2 selepas dihantar oleh ibunya ketika mahu menjejak ke darjah satu. Ya dia adalah anak hasil perkahwinan ayah dan ibunya yang hanya bertahan selama dua tahun. sekarang ayah berkahwin lagi dan hubungan isteri baru ayah dan bekas isteri ini tidak pernah baik.

Lalu bagaimana kami harus berkenduri. Saya tidak tahu apa sebab mereka tidak berkenduri sahaja di sana. Adakah segan kerana rumah mereka buruk atau tidak mahu berpenat lelah. Yalah nanti mereka adik beradik anak beranak datang lenggang kangkung makan kenduri dan boleh terus pulang. Masak memasak dan rumah bersepah kami yang hadap. Saya harap sangat kenduri mereka pakai catering, tak perlulah menyusahkan hati ayah yang selama ini makan hati berulam jantung dengan karenahnya.
Ya, saya tahu rumah ayah lebih dekat dengan rumah pengantin lelaki lelaki jika dibandingkan dengan rumah ibunya. Nampak tak sekali lagi kami diperalat oleh keluarga pengantin lelaki supaya dapat menjimatkan duit minyak rombongan. Saya kesian ayah. Ayah yang berhabis duit untuk dia selama ini dan nanti sebagai tuan rumah, ayah juga yang harus menjemput orang kampung.

Saya juga kesian ma. Harus korbankan hati wanitanya melihat bekas isteri ayah bertuan rumah di rumah kami. Majlis itu nanti pasti kakak-kakak dan adik adik datang menjadi tuan rumah jugak. Mereka dan saya juga tidak baik. Datang ke rumah kami mencari adiknya dulu, tidak pernah ditegurnya kita walau disapa dan walau bermanis muka.

Tak apa lah. Biarlah hanya kali ini. Dan saya yakin selepas ini mereka akan bawa haluan sendiri dan kami tetap berkongsi ayah. Juga tetap kakak dan adik. Dia punya pilihan dan hidupnya sendiri. Pun tetap berbangga kerana arwah emak kami empat beradik tetap meniti di bibir ayah. Cuma harapan saya semoga adik ipar kami ini memainkan peranannya sebagai lelaki. Saya pasti ayah gembira jua bakal menyambut menantu keempat.

Semoga dididik dan dibimbing sebaiknya. Selama ini dia pakai ikut suka, perangai lebih kurang. Dan jangan malukan ayah bila jadi menantu orang. Jaga maruah dan air muka keluarga. Jaga solat sebab ayah dah hantar ke sekolah agama. Bagus juga dia tidak masuk u kalau sambung belajar tinggi2 dan ayah berhabis lagi tapi dia tetap menjadi pucuk tidak mengenal akar. Buat lesen kereta duit ayah dan sekali pun tak pernah dibawa ayah pusing2. Ayah beli motor dibawa juga motor ke rumah emaknya dan pernah motor itu digunakan mereka sekelurga bagaikan mereka yang punya.

Dulu, dia pernah dibelikan rantai dan gelang seperti kami. Tapi bila dipakai dan dibawa ke rumah emaknya, sesuka hati barangan itu dijual. Selama ini saya lihat ayah sabar dalam dukanya. Ayah tenang dan pilunya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan